Apa nak jadi dengan Malaysia, negara tercinta, tanah tumpah darahku? Ta'cukup dengan BN kehilangan majorti 2/3 di Parlimen dan terlepas 4 negeri ke tangan gabungan DAP, PKR dan PAS, kita dikejutkan dengan masalah perlantikan MB di Perlis dan Terengganu. Negeri yang dimenangi oleh BN, yang ta'sepatutnya menghadapi masalah untuk melantik MB.
Apakah malangnya nasib rakyat di kedua-dua negeri tersebut? Setelah memilih BN untuk kestabilan, keselamatan dan kemakmuran, negerinya masih ta'punya MB.
Di Perlis, bekas MBnya Shahidan berebut jawatan dengan Mohd Isa. Tidakkah Shahidan terbaca kisah Khalid Al Walid, apabila beliau dilucutkan jawatannya sebagai Panglima Tentera Islam dengan rela hati menyerahkannya kepada pengantinya dan seterusnya memberi sokongan yang padu kepada pengantinya.
Yang lebih menarik dalam isu Shahidan dan Mohd Isa, ialah pilihan PM; Shahidan sebagai MB Perlis ditolak oleh majoriti wakil rakyat BN sendiri. Sebaliknya mereka memberi sokongan kepada Mohd Isa sebagai MB Perlis yang baru. Tidakkah tindakan YB BN ini satu pendehakaan terhadap PM?
Dimanakah konsensus yang sepatutnya dicapai sebelum perlantikan MB dibuat? Tidakkah PM merujuk kepada wakil-wakil rakyat di Perlis sebelum memilih Shahidan sebagai MB?
Terbarunya ialah penolakan dua wakil UMNO dari dilantik sebagai Timbalan Menteri kerana merasakan mereka sepatutnya dilantik sebagai Menteri penuh. Seterusnya Shafie Afdal menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan bilangan Menteri penuh dari Sabah kerana merasakan Sabah sepatutnya memperolehi lebih banyak Menteri dengan kemenangan besar yang diperolehi di Sabah.
Dengar khabar Rafidah Aziz merajuk dan akan meletak jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO. Apadah jadi?
Segala pergolakan yang berlaku memberi gambaran yang buruk terhadap kestabilan negara. Seolah-olah pucuk pimpinan BN tidak mampu mengawal keadaan dan anggota bawahannya mula memberontak secara perlahan-lahan.
Masalahnya, pucuk pimpinan dikelilingi oleh para pengampu yang lebih sayangkan kedudukan dan kerusi empuknya di Kementerian dari rakyat dan negara yang kononnya dibela oleh mereka selama ini. Jika benar mereka pembela rakyat berterus teranglah dengan PM tentang ketidak puasan hati yang mula merebak dikalangan ahli-ahli parti. Jangan tunggu sehingga nasi dah menjadi bubur dan kemudian menemplak dan menyalahkan rakyat kerana mengundi pembangkang.
Ramai yang telah menyuarakan pendapat bahawa BN kehilangan sokongan bukan kerana rakyat sukakan pembangkang tetapi telah bosan dan meluat dengan kerenah pimpinan BN yang ada. Oleh itu renung-renungkanlah apa yang patut dibuat demi kepentingan rakyat dan negara.
Ingatlah....anak cucu kita akan mewarisi apa yang akan kita tinggalkan buat mereka. Janganlah tinggalkan Malaysia yang punah ranah buat anak cucu kita semata mata kerana kita sayangkan kedudukan dan kerusi empok seorang Menteri.
Noruddin Idris Noh
Wednesday, March 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment